Nuffnang

Isnin, 21 Mac 2011

Sinopsis Merong Mahawangsa


Penerbitan

Pembikinan filem epik Hikayat Merong Mahawangsa dilaporkan menelan belanja kira-kira RM 8 juta, menjadikannya filem Melayu kedua termahal selepas Puteri Gunung Ledang yang ditayangkan pada tahun 2004. Oleh sebab filem ini ditujukan kepada pasaran antarabangsa, mula-mula dilaporkan bahawa filem ini terdiri daripada 70% bahasa Inggeris dan selebihnya dalam bahasa Melayu Klasik dan lain-lain. Akan tetapi, pada Mei 2010, ketika proses pascapenerbitan dijalankan, pihak KRU mengesahkan bahawa Hikayat Merong Mahawangsa keluar dalam dua versi, iaitu versi Malaysia yang melebihkan dialog bahasa Melayu, dan versi pasaran antarabangsa yang mengutamakan bahasa Inggeris.  Untuk menjimatkan perbelanjaan, KRU memanfaatkan teknologi CGI untuk menghasilkan kebanyakan latar bersejarah, selain prop dan latar fizikal yang hanya terdiri daripada empat buah kapal, perkampungan Melayu pada abad ke-2, pelabuhan kapal, set gambaran istana di Rom, China dan juga pelabuhan Goa di India. Penggambaran filem Hikayat Merong Mahawangsa diadakan selama 52 hari, bermula pada 9 Jun 2009 dan berakhir pada 8 Ogos, dengan menyempurnakan 90% penggambarannya di negeri Terengganu, dan selebihnya di negeri lain seperti Pahang dan Kuala Lumpur. Yusry Abdul Halim selaku sutradara memaklumkan pihak akhbar bahawa skrip filem ditulis berpandukan buku dan sumber Internet serta kajian yang dilakukan kru produksi. "Kita tidak mengambil keseluruhan cerita, sebaliknya hanya bahagian penting yang menguatkan jalan cerita. Ini kerana cerita asalnya banyak mitos dan kita menukarnya menjadi logik dan mudah difahami," katanya. "Sebagai contoh, watak burung garuda dalam cerita asal kita tukar kepada watak lanun, tetapi masih mengekalkan namanya." Penerbit eksekutif, Norman Abdul Halim  menambah, skrip filem disemak 17 kali demi cerita yang lebih logik dan berintegriti. Selain gugurnya adegan burung garuda, perjumpaan Merong Mahawangsa dengan Nabi Sulaiman a.s. seperti dalam manuskrip asal juga tidak disertakan. Bagaimanapun, jalan cerita ditokok dengan perihal ibunda Merong Mahawangsa berasal dari Kedah supaya kaitan Hikayat dengan negeri itu lebih jelas.
Ketika ditanya mengenai pemilihan Stephen Rahman Hughes sebagai pemegang watak utama, Yusry menjawab, "Kami memilih Stephen kerana dalam filem ini dia mempunyai darah Iskandar Agung. Dia dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, boleh belajar bahasa Melayu dan betul mendalami karakter," sebagai menyentuh penceritaan catatan asli bahawa Merong Mahawangsa mendakwa dirinya keturunan raja Macedonia handalan tersebut. Selain itu, Norman juga mengakui bahawa pihak penerbitan filem mengimport senjata dari China dan Amerika Syarikat yang terpaksa dihapuskan selepas penggambaran atas arahan Kementerian Dalam Negeri, di samping mengupah ramai pelagak ngeri termasuk 10 orang dari Hong Kong yang pernah bekerja bersama Jackie Chan. Yusry juga pernah mengatakan bahawa filem Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem besar terakhir arahannya kerana "ingin memberi peluang kepada pengarah lebih berbakat mengarahkan filem terbitan KRU Studios."

Muzik

KRU Studios bekerjsama dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk menghasilkan skor muzik filem ini, yang mana proses rakaman yang memakan masa tiga hari berturut-turut (23–25 Mac 2010) di bawah pimpinan pengarah muzik Claus Peter Flor, diiringi 105 pemuzik pakar, mendendangkan skor asli ciptaan bakat komposer muda seperti Reza Ramsey dan Yudi Ashadi, yang disusun semula oleh Ahmad Muriz Che Rose dan Vivian Chua. Bukan sahaja menandakan kali pertama MPO menerbit dan merakam bersama skor muzik filem Malaysia malah jelas Penerbit Teknikal, Edry Abdul Halim, bahawa Hikayat Merong Mahawangsa merupakan filem Melayu pertama yang menampilkan muzik skor penuh untuk keseluruhan jalan cerita filem ini sewaktu tayangannya. Anuar Zain tampil sebagai penyanyi lagu tema filem Hikayat Merong Mahawangsa, iaitu "Sedetik Lebih" yang digubah oleh Edry Abdul Halim dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris.

Pemasaran antarabangsa

Setakat Januari 2011, filem Hikayat Merong Mahawangsa dilaporkan sudah diberikan hak tayangan kepada 72 buah negara atas kesudian syarikat pengedaran filem antarabangsa, Epic Pictures dari Amerika Syarikat untuk memasarkan filem ini.  Apabila ditanya mengapa filem ini disasarkan kepada penonton antarabangsa, Yusry menjelaskan bahawa jika industri filem Malaysia hanya bergantung pada pasaran tempatan, mereka terpaksa membikin cerita yang sama berulang kali; apabila menyasarkan pasaran global barulah mereka mendapat bajet yang lebih besar untuk melakukan kelainan.  Sebelum ini, KRU Studios mengambil langkah pertama untuk memasarkan filem Hikayat Merong Mahawangsa ke seluruh dunia dengan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Universal Pictures International Entertainment Ltd untuk hak pengedaran di Amerika Utara.  Difahamkan bahawa pihak Universal diberikan first option untuk mengedarkan filem ini ke seluruh dunia apabila siap kelak.  Filem Hikayat Merong Mahawangsa dipasarkan di European Film Market (EFM) yang berlangsung di Berlin, Jerman pada 11–21 Februari 2010, dan dilaporkan berjaya menjual hak pengedaran kepada para pengedar filem United Kingdom, Perancis, Jerman, Rusia dan negara Asia Barat.


0 ulasan:

Catat Ulasan

Klik Klik

Related Posts with Thumbnails