Nuffnang

Selasa, 20 April 2010

KEMPEN KAMI PRIHATIN

Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia kepada warga Alumni SMK Teluk Bahang, semoga anda semua berada dalam sihat sejahtera hendaknya. Untuk makluman anda sebelum nie penulis dah pernah tulis mengenai kes pembuangan bayi di Malaysia melalui slot ‘Dari Mata Turun Kehati’. Bagi yang belum baca lagi boleh klik pada Arkib Alumni. Kali ini, penulis berpeluang untuk berkongsikan sebuah kempen yang giat dilancarkan di Malaysia kini mengenai isu pembuangan bayi yang kian meningkat di negara kita. Kempen Kami Prihatin yang penuh mesej dan matlamat untuk mengelakkan berlakunya gejala pembuangan bayi yang menular dikalangan rakyat Malaysia. Sebagai sebuah media alternatif pada masa kini, suka penulis mengajak rakan-rakan untuk berkempen melalui Blog, Facebook, MySpace dan media yang lain. Melihat dada akhbar beberapa minggu nie penulis rasa geram sangat mengenai pembuangan bayi, penulis percaya rakan-rakan juga pasti sependapat dengan penulis. Penulis melihat dunia ini seperti kembali semula kepada zaman jahilliah. Kes pembuangan bayi semakin meningkat. Sebak hati penulis melihat anak-anak kecil yang tidak berdosa didera, dibuang sehingga begitu sekali bahkan ada yang sanggup membakar. Penulis ingin meninggalkan persoalan, apakah dosa anak kecil ini sehingga ada yang sanggup membuat begitu sekali?. Sungguh zalim manusia itu sehingga sanggup membuang anak sedangkan binatang pun menyayangi dan membelai anaknya. Mereka ini eloklah digelar syaitan bertopengkan manusia.

Berbalik semula mengenai Kempen Kami Prihatin, ia lancarkan oleh akhbar Utusan Malaysia memang kena pada masanya di saat gejala buang bayi seperti tidak bernoktah lagi. Hampir setiap minggu, dada-dada akhbar tempatan dihiasi dengan perlakuan buruk syaitan bertopengkan manusia durjana ini. Masyarakat pula semakin jelak dan marah dengan tindakan bersifat kebinatangan yang dilakukan mereka. Walaupun setelah pelbagai usaha untuk membendung dilakukan, namun ia nampaknya masih berterusan dan menemui jalan buntu. Islam sejak sekian lama telah mempromosikan budaya amar makruf nahi mungkar sebagai satu daripada asas hidup bermasyarakat. Ia penting bagi membudayakan kerjasama dalam menjayakan setiap amal baik dan mengelak daripada perlakuan buruk dalam sesebuah komuniti masyarakat. Pelaksanaan kerja-kerja sebeginilah yang kemudiannya mewujudkan suasana aman dan harmoni sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan negara. Suruhan ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud "Dan hendaklah ada daripada kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara baik serta melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah ali-Imran: 104).

Segenap lapisan masyarakat perlu bersatu tenaga membanteras kegiatan tidak bermoral yang berlaku di sekeliling mereka. Ia merupakan kewajipan agama yang mesti dilaksanakan oleh semua pihak, tanpa mengira tempat dan masa. Ini kerana kemungkaran berlaku di mana- mana dan kadangkala ia dilakukan secara terang-terangan tanpa segan dan silu. Perbuatan berpelukan, berciuman di tempat awam seperti pusat membeli-belah, dalam LRT, mahupun di taman-taman rekreasi seakan sinonim dengan segelintir muda-mudi yang dibimbangi menjurus kepada perbuatan zina dan peningkatan jenayah buang bayi. Oleh itu, setiap anggota masyarakat mesti menggunakan kudrat yang ada bagi membanteras punca kepada penderaan kanak-kanak dan gejala buang bayi ini. egitu juga media massa seperti televisyen boleh menyiarkan keburukan pergaulan bebas, apa yang perlu dilakukan jika sudah terlanjur dalam bentuk iklan sebagai satu bentuk pendidikan seksual yang secara tidak langsung kepada para penonton. Hukuman yang setimpal dengan kesalahan buang bayi dan dera kanak-kanak patut difikirkan sebagai pengajaran untuk semua. Hukuman sebat syariah ke atas pesalah buang bayi sehingga menyebabkan kematian juga boleh dilaksanakan jika sesuai kerana ia melibatkan aspek pelanggaran terhadap keperluan menjaga nyawa dan kehormatan manusia. Apapun yang lebih penting, setiap individu mestilah mempunyai kekuatan kendiri bagi menangkis pelbagai serangan mendatang dalam era globalisasi masa kini. Tidak dinafikan kekuatan rohani yang berteraskan ajaran Islam yang murni juga faktor penentu kejayaan mencapai al-falah di dunia dan di akhirat nanti.

Akhir kata daripada penulis, marilah kita bersama-sama menjayakan Kempen Kami Prihatin. Bagi yang ada Facebook sertai Halaman Kempen Kami Prihatin. Dibawah ini adalah link untuk kempen ini, terdapat juga info maklumat dan lagu tema Kempen Kami Prihatin.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?pg=special/kami_prihatin/index.htm

0 ulasan:

Catat Ulasan

Klik Klik

Related Posts with Thumbnails