Pages

Nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Renungan Anda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Renungan Anda. Papar semua catatan

Khamis, 14 April 2011

Potong Kuku Ikut Sunnah Nabi





Cara potong kuku amalan Rasulullah S.A.W

Berkata Saidatina Aisyah bermaksud:Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur.
(Riwayat Muslim).

Dari Anas bin Malik bermaksud:
Sudah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada 40 malam.
(Riwayat Muslim).

Menurut Imam Shafie:
Sunat memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat sepertimana disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum ke masjid.

Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud:
Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik, kemudian keluar rumah hingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi orang yang sudah bersaf, kemudian mengerjakan sembahyang apa saja (sembahyang sunat), dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata hingga selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa antara Jumaat itu dan Jumaat sebelumnya.
(Riwayat Ahmad).

Berkata Abu Hurairah R.A. bermaksud:
Nabi Muhammad S.A.W. memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum baginda keluar untuk bersembahyang.
(Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani).

Mulakan memotong kuku dengan Bismillah dan selawat Nabi dan mulakan dengan jari telunjuk sebelah kanan sehingga selesai tangan kanan, kemudian jari kelingking sebelah kiri sampai ibu jari tangan kiri dan akhir sekali ibu jari tangan kanan.

Kalau kaki pula, mulakan dengan jari kelingking kaki kanan sampai kelingking kaki kiri. Itulah sunnah yang paling kuat dipegang selama ini walaupun ada banyak khilafnya.(perselisihan pendapat).

Wallahu A’lam


Isnin, 21 Mac 2011

Mayat Di Atas Kubah Masjid Nabawi



SUBHANALLAH ini adalah satu keajaiban yang terjadi sekitar 90 tahun yang lalu.

Diriwayatkan oleh Syeikh Zubaidi, ahli sejarah Madinah seperti berikut:

“Ada seseorang mencuba untuk menghancurkan kubah Nabi Muhammad SAW, kubah warna hijau di Masjid Nabawi di Madinah yang juga menjadi tanda tepat di bawahnya terdapat makam Rasulullah SAW. Ketika pelaku mencuba memanjat kubah itu untuk menghancurkannya, tiba-tiba petir kilat datang menghentamnya. Pendaki yang berniat jahat itu pun mati di tempat itu. Anehnya tidak seseorang pun yang mampu menghilangkan tubuhnya dari atas kubah itu. Ia juga menyatakan bahawa seseorang yang salih dari Madinah mendengar suara dalam mimpinya bahawa tidak ada yang dapat mengambil mayat dari atas kubah itu dan ia harus dikuburkan di atasnya sebagai peringatan dan pengajaran bagi orang yang mungkin memikirkan berusaha untuk menghancurkannya kubah itu pada masa depan. Akhirnya, mereka memutuskan untuk menguburkan orang itu di atas kubah dan menutup tubuhnya dengan kotak hijau sehingga tidak akan terlihat orang.”

Maklumat mengenai ada mayat di atas kubah Masjid Nabawi, memang banyak dijelaskan melalui laman web (internet) yang boleh dilayari dengan judul ‘Ada mayat di atas kubah Masjid Nabawi’ dan adakah benar atau sebaliknya fakta ini?
Sesuatu maklumat atau khabar di dalam ilmu mantiq dan balaghah, mungkin boleh dipercayai ataupun tidak. Apa lagi maklumat itu tidak ada kaitan dengan ibadah atau akidah.




Kejadian itu bukan sekadar maklumat yang membuat kita terkejut mendengar dan melihatnya, bahkan ia fakta sejarah yang tidak dapat ditutupi selama ini kerana ditutupi oleh fahaman dan aliran atau golongan tertentu yang melakukan perbuatan provokasi itu.

Ramai jemaah haji, umrah, dan ziarah dari pelbagai negara seluruh dunia mengunjungi Masjid Nabawi dan melihat di atas kubah hijau itu, tetapi tidak perasan bahawa di sana ada sebungkah mayat terbujur.

Ada jemaah bertanya, mengapakah harus ada dua kubah berdekatan di atas mihrab raudah dan bekas rumah Nabi Muhammad SAW dan di bawah kubah hijau Masjid Nabawi terdapat pula makam Rasulullah SAW dan dua orang sahabatnya iaitu Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab RA.

Setelah memandang lebih fokus ke arah puncak kubah hijau itu, kita melihat seperti ada suatu bongkahan sehingga kelihatan kubah itu seperti ada sesuatu yang tidak rata di atasnya. Jika diperhatikan secara saksama, memang jelas ada sesuatu yang menempel di atas kubah itu dan menyatu warnanya (hijau) dengan warna kubah.

Tanpa ada niat untuk menimbulkan sensasi, setelah mempelajari komen yang tertulis dalam bahasa Arab di samping gambar itu seperti yang disaksikan pada mulanya makam itu adalah bilik Aisyah, isteri Nabi SAW dan rumah kediaman Rasulullah SAW. Justeru, kerana kesalahan kerajaan Islam terdahulu, makam itu dibina sebahagian daripada masjid.

Dalam hadis pun ada melarang menjadikan makam nabi sebagai masjid. Diriwayatkan daripada Abbad RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah SWT melaknat orang Yahudi dan Nasrani menjadikan kuburan nabi mereka sebagai masjid.” (lihat Fathul Barri).

Dalam konteks ini, Ibnu Hajar al-Asqalani, menjelaskan makna hadis di atas adalah larangan untuk mengagungkan dan membesarkan (memuja) kuburan, bukan larangan membina masjid dekat kuburan atau kuburan berada di dalam masjid.

Di mana pun lokasinya, kuburan (makam) tetap tidak dibolehkan untuk diagungkan seperti orang menghormati masjid. Sama halnya makam Nabi SAW yang berada di dalam masjid. Orang datang ke makam Baginda bukan bermaksud untuk mengagung dan memujanya tetapi sekadar untuk berziarah dan berdoa seperti Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menziarahiku setelahku wafat, sama seperti menziarahiku ketika aku hidup.” (Hadis riwayat Tabarani).

Justeru, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan mengirimkan sambaran kilat maut kepada pelakunya yang berniat jahat dan khianat untuk menghancurkan kubah Masjid Nabawi itu. Sehingga tidak ada seseorang pun yang sanggup menurunkan mayat itu hingga sekarang walaupun peristiwa itu berlaku 90 tahun yang lalu.

Namun Allah SWT ingin memperlihatkan kekuasaan-Nya, bahawa yang benar itu tetap benar, dan yang salah tetap salah walaupun dipertikaikan kerana yang benar itu mengatasi yang batil. Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang mendustakan ayat (tanda) keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli di dalam gelap gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki, akan disesatkannya, dan sesiapa yang Dia kehendaki, akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.” (Surah al-An’am,ayat 39).




Ahad, 13 Mac 2011

Video Tsunami Jepun 2011


Kejadian Tsunami Jepun 2011


Kawasan Lapangan Terbang

Tsunami membadai rumah-rumah

Semasa Tsunami




Khamis, 10 Mac 2011

Bicara Agama - Buku Muhammad Ubah Hidup Davis

MUSTAFA Davis (kiri) bersama Khadim (tengah) dan Usama Canon yang kembali bertemu 
dalam ikatan persaudaraan Islam yang murni baru-baru ini.


PERTEMUAN dua sahabat, iaitu Mustafa Davis dengan Usama Canon hampir 15 tahun dahulu bukan sekadar satu kebetulan. Ia lebih kepada suratan ilahi yang akhirnya membawa kedua-dua memeluk Islam melalui satu catatan perjalanan yang agak menarik. Bermula dengan Davis yang menegur Canon ketika mereka mengikuti kelas Bahasa Sepanyol dan duduk pula bersebelahan menyebabkan mereka akhirnya menjadi kawan akrab.Lebih-lebih lagi kedua-duanya berkongsi minat yang sama dalam bidang muzik dan budaya.Mereka sering bermain piano di kampus berjam-jam lamanya yang diselang-seli dengan perbincangan terutamanya dalam soal-soal kepercayaan dan spiritual.

Sehinggalah pada suatu hari Davis perlu meminta pendapat Canon mengenai hasratnya untuk kembali ke jalan kehidupan yang benar. Kala itu, Davis tinggal seorang diri di San Jose. Pada sebelah malam dia bekerja sementara, siang ke kuliah. "Saya merasakan kehidupan masa lalu sering menjadi beban dan selalu menghantui hidup. "Saya beritahu Canon saya sedang mempertimbangkan untuk kembali pada Katholik, untuk memperbaiki hidup," katanya. Namun Canon bertanya sama ada sahabatnya itu pernah mendengar dan terfikir mengenai Islam? "Saya jawab tidak pernah, kerana saya merasa Islam hanyalah agama untuk orang Arab atau agama kelompok pemisah kulit hitam," katanya. Mendengar jawapan itu, Canon, seorang penganut Kristian bertanyakan pula sama ada dia pernah mendengar mengenai Nabi Muhammad SAW.
Davis menjawab dia hanya kenal atau mendengar nama Elijah Muhammad sahaja. Manakala Nabi Muhammad SAW yang beliau tahu berasal dari bangsa Arab dan agamanya yang dibawanya adalah untuk orang Arab sahaja. Sehinggalah pada suatu malam, Davis singgah ke sebuah kedai buku untuk membeli kitab Injil - sebagai permulaan untuk kembali kepada ajaran Kristian. Namun, matanya terus tertarik kepada sebuah buku berkulit hijau dengan Muhammad tertulis besar dalam warna tinta keemasan.Lantas beliau terus mengambil buku yang tajuk lengkapnya ialah Muhammad - His Life Based On The Earliest Sources karya Dr. Martin Lings (seorang pakar Matematik yang memeluk Islam).

"Yang menarik perhatian saya adalah frasa earliest sources dalam judul itu. Walaupun ingin kembali kepada ajaran Katholik tetapi saya sedar ada pelbagai perdebatan secara teologi mengenai kesalahan-kesalahan yang ada dalam Injil. "Lalu saya cuba membaca buku Dr. Martin Lings itu bagi mendapatkan sesuatu yang baru," katanya. Namun kerana menemui banyak perkataan Arab terutamanya kalimah al-Quran yang banyak diulang dalam buku itu menyebabkan Davis mengembalikan buku itu ke raknya. "Saya cuba membaca tetapi kerana kesukaran memahami perkataan dalam bahasa Arab maka saya rasa benarlah tanggapan saya sebelum ini bahawa Islam adalah agama untuk orang Arab sahaja," katanya. Namun buku Dr. Ling itu bagaikan sebuah bayang yang memburu. Langkah kaki Davis dirasakan sangat berat sehinggalah dia kembali semula ke rak buku mengenai Islam. Matanya tertancap kepada sebuah buku yang tertulis tajuknya The Quran.

Ia terus mengingatkan Davis mengenai perkataan al-Quran yang kerap beliau temui dalam buku Dr. Ling sebentar tadi. Lalu buku yang sebenarnya senaskhah terjemahan al-Quran itu dibuka dan diselak dengan penuh minat. Kebetulan yang diselak itu adalah surah Maryam. Davis terus tertarik untuk membaca isi kandungan surah itu yang menceritakan kelahiran Nabi Isa a.s.

"Sebaik sahaja saya membaca ayat-ayat dari surah tersebut, terus dirasakan tubuh saya panas dan dingin, silih berganti. "Malah saya tahu saya bagaikan menggigil kerana tidak menyangka Islam juga meyakini keajaiban dalam kelahiran Jesus yang diyakini dalam agama Kristian. "Namun Islam tidak meyakini Jesus sebagai anak dari Tuhan seperti keyakinan umat Kristian," katanya. Tidak diketahui apa sebabnya, Davis kemudiannya teresak-esak di kedai buku itu saat membaca terjemahan al-Quran.

"Akhirnya saya membeli naskhah terjemahan itu supaya dapat membaca dengan lebih banyak apa yang diyakini oleh kaum Muslimin. "Dalam situasi perasaan yang sedang emosi itu, saya benar-benar sudah lupa untuk membeli Alkitab (Injil) dan meninggalkan toko buku itu," ujarnya.



Rabu, 23 Februari 2011

Iktibar Sejarah Maulidur Rasul

IKTIBAR SEJARAH MAULIDUR RASUL:
MENGHADAPI KRISIS & CABARAN
Oleh :
Izhan Hamidi bin Ibrahim
Perunding Akademi Aidit Sdn. Bhd.

Mukaddimah
Setiap orang akan berhadapan dengan pelbagai krisis dan cabaran, sama ada segi politik, ekonomi, sosial, teknologi, persekitaran atau perundangan. Justeru, persiapan dan persediaan yang sewajarnya perlu dilakukan supaya krisis dan cabaran tersebut mampu dihadapi secara bijaksana. Kegagalan menangani krisis dan cabaran akan meletakkan kita dalam risiko untuk terjerumus ke dalam masalah yang lebih kritikal.
Sebagai seorang Islam, pastinya kita akan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai model dan rujukan utama untuk dicontohi termasuklah segi persiapan dan persediaan menangani krisis dan cabaran. Coretan sirah telah membuktikan kekentalan dan ketabahan Rasulullah SAW menangani krisis dan cabaran dalam menyampaikan risalah Islam.
Langkah pertama untuk membuat persiapan dan persediaan ialah dengan cara merujuk kembali jejak yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Justeru, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari beberapa peristiwa yang dilalui oleh Rasulullah SAW yang menonjolkan sifat survival Baginda SAW dalam menghadapi krisis dan cabaran.

10 Sifat Survival Nabi Muhammad SAW
1)          Berdikari sebagai anak yatim piatu
Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan sebagai anak yatim dan dipelihara oleh datuknya Abdul Mutalib. Semasa berumur enam tahun, ibunya iaitu Aminah pula telah meninggal dunia. Maka Rasulullah SAW dijaga sepenuhnya oleh datuknya. Semasa berumur lapan tahun, datuknya pula telah meninggal dunia, maka tanggungjawab menjaga Rasulullah SAW diambil alih pula oleh bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Keadaan dan persekitaran inilah yang telah membentuk peribadi Rasulullah SAW menjadi seorang yang berdikari.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Latar belakang keluarga tidak boleh dijadikan sebagai alasan atau halangan untuk mencapai kejayaan.
¤    Keperitan hidup yang dialami oleh keluarga perlu dijadikan sebagai pengalaman untuk hidup berdikari.
¤    Wali atau ahli keluarga terdekat perlu berperanan mengambil tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang menghadapi kesusahan.

2)          Menggilap sepenuhnya potensi diri
Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Hikmahnya ialah untuk menolak tohmahan musuh yang mengatakan ajaran Islam adalah idea rekaan Nabi Muhammad SAW hasil pembacaan dan kajian. Pada masa yang sama menghindarkan tuduhan bahawa Baginda SAW sendiri yang menulis dan mengarang Al-Qur’an.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Sifat ummi tidak dilihat sebagai kelemahan yang boleh membantutkan proses penerokaan ilmu sebaliknya dijadikan sebagai sandaran meningkatkan kredibiliti diri.
¤    Menjaga dan menggilap sepenuhnya potensi diri yang dimiliki sama ada aspek akli, jasmani, emosi dan spritual.
¤    Mengasah ketajaman akli(daya intelektual) menerusi pelbagai kaedah seperti belajar dari pengalaman, menghayati alam, berfikir, berdialog dan sebagainya.

3)          Istiqamah dengan kebenaran
Nabi Muhammad SAW telah diutuskan kepada masyarakat jahiliah yang hidup tanpa panduan dan pancaran agama serta tersasar dari fitrah kejadian manusia. Mereka membunuh anak perempuan kerana mahu menjaga maruah dan suka berperang sesama sendiri dengan alasan mempertahankan kehormatan. Namun, Nabi Muhammad SAW telah dipelihara oleh Allah SWT dari terjebak dalam maksiat tersebut.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Kita perlu berpegang pada prinsip dan jati diri walaupun berada dalam apa sahaja keadaan dan situasi. Prinsip dan jati diri yang dipegang akan meningkatkan maruah dan kredibiliti.
¤    Keupayaan membebaskan diri dari terjebak dalam pengaruh gejala negatif yang dibawa oleh masyarakat membuktikan sifat istiqamah yang dimiliki.
¤    Beruzlah mengasingkan diri dari kesibukan urusan dunia merupakan salah satu cara untuk menilai dan mencari ketenangan jiwa bagi menambahkan keimanan.

4)          Tabah menghadapi penentangan
Seruan dakwah Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW tidak dihamparkan dengan permaidani merah, tetapi dipenuhi dengan onak dan duri. Baginda SAW telah menggunakan pendekatan berdakwah secara sulit pada peringkat awal sebagai salah satu strategi dakwah yang berkesan.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Penentangan atau kepayahan yang dihadapi dalam perjuangan perlu dijadikan sebagai pembakar semangat untuk berusaha dengan lebih gigih.
¤    Strategi yang tepat dan sesuai akan memudahkan proses mencapai objektif atau sasaran yang ditetapkan.
¤    Usaha yang berorientasikan matlamat akan mendorong kita untuk mencuba pelbagai kaedah alternatif jika perancangan asal berhadapan dengan halangan atau kesukaran.

5)          Bersabar dengan penyeksaan
Usaha dakwah yang dijalankan oleh Rasulullah SAW bukan sekadar menghadapi penentangan, malahan terpaksa berdepan dengan tindakan kekerasan dan penyeksaan daripada pihak musuh. Mereka juga membuat pemulauan ekonomi, memutuskan hubungan, menyekat sumber rezeki dan tidak menerima sebarang perdamaian selagi Nabi Muhammad SAW masih meneruskan usaha dakwah.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Para pendakwah mesti membuat persediaan untuk menghadapi pelbagai bentuk sekatan dan ancaman daripada pihak musuh.
¤    Usaha dakwah yang dilaksanakan bukan sahaja menuntut pengorbanan masa, tenaga dan harta benda, malahan pergorbanan jiwa.
¤    Ujian penyeksaan ini merupakan salah satu proses penyaringan antara orang yang benar-benar beriman dengan orang yang berdusta.

6)          Memanfaatkan sumber manusia
Seruan dakwah Rasulullah SAW pada peringkat awal hanya diterima oleh golongan yang lemah dan miskin sahaja. Hikmahnya adalah untuk membuktikan bahawa ajaran Islam diterima kerana hidayah dan kekuasaan Allah SWT, bukan kerana dipengaruhi oleh pangkat dan kekuasaan yang dimiliki oleh manusia.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Kita perlu meletakkan kualiti sebagai asas penilaian dan meritokrasi sebagai kaedah pengukuran dalam proses pemilihan pengikut atau ahli.
¤    Orang yang lemah atau miskin tetapi memiliki kemahuan dan semangat yang tinggi perlu diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.
¤    Kita dituntut untuk berusaha sedaya-upaya menyampaikan seruan dakwah Islam, namun hidayah adalah hak mutlak Allah SWT.

7)          Meminimumkan sumber pembiayaan
Penentangan, sekatan, pemulauan dan penyeksaan yang dihadapi oleh Rasulullah SAW mengakibatkan berlakunya kekurangan sumber pembiayaan untuk melaksanakan usaha dakwah. Rasulullah SAW telah membuktikan kepada pihak musuh bahawa pergantungan usaha dakwah bukanlah segi harta benda atau material tetapi diletakkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Justeru, usaha dakwah Baginda SAW tetap diteruskan dengan penuh komitmen.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Faktor kebendaan atau material sememangnya diakui penting untuk menggerakkan dakwah, namun bukanlah menjadi faktor penentu yang bersifat mutlak.
¤    Matlamat mendapat ganjaran terbaik di akhirat perlu dijadikan sebagai dorongan untuk menghadapi segala kesusahan.
¤    Kita mestilah meyakini bahawa rezeki ditentukan oleh Allah SWT bukannya terletak di tangan manusia.

8)          Tinggi daya inspirasi
Kematian Khadijah dan Abu Talib yang menjadi tulang belakang usaha dakwah Rasulullah SAW pada tahun kesepuluh selepas kenabian merupakan peristiwa pahit yang terpaksa ditempuhi. Tahun tersebut digelar sebagai Tahun Dukacita bukan kerana terlalu bersedih atas kematian mereka berdua, tetapi kerana hasil dakwah yang berkurang berbanding semasa kedua-duanya masih hidup. Hikmahnya ialah menolak tohmahan musuh bahawa usaha dakwah berjaya disebarkan kerana kewibawaan kedua-dua tokoh tersebut.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Usaha dakwah dilaksanakan berdasarkan pada perintah Allah SWT dan tidak terikat dengan mana-mana tokoh atau peribadi.
¤    Kehidupan setiap manusia akan sampai ke penghujung usia, justeru usaha yang disandarkan pada mana-mana tokoh tidak akan kekal bertahan.
¤    Usaha menyampaikan dakwah adalah amanah dan tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap generasi umat Islam. Kita berperanan seumpama mata rantai pada perjuangan yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW.

9)          Berani berhijrah
Rasulullah SAW memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah setelah mendapati tekanan dan penyeksaan oleh golongan kafir Quraisy ke atas mereka semakin menjadi-jadi. Maka para sahabat secara bersembunyi telah keluar dari Kota Mekah menuju ke Kota Madinah. Hanya Umar Al-Khattab yang mengisytiharkan penghijrahannya secara terang-terangan, namun tidak ada seorang pun yang berani menahan hasratnya itu.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Kita dituntut untuk berhijrah atau berubah ke arah yang lebih baik.
¤    Kegagalan untuk berubah akan mengakibatkan kita ketinggalan sama ada segi ilmu, kemahiran, teknologi dan sebagainya.
¤    Kita perlu bijak memilih kaedah atau cara untuk melakukan proses perubahan supaya hasilnya adalah yang terbaik.

10)     Strategik
Umat Islam dibenarkan berperang setelah dakwah Islam semakin berkembang luas dan ancaman yang dihadapi semakin kritikal. Secara asasnya peperangan yang berlaku di dalam Islam adalah untuk menegakkan keadilan, menumpaskan kekuasaan yang zalim dan seterusnya membebaskan perhambaan sesama manusia dan membawa pada pengabdian pada Tuhan Yang Maha Esa.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Kita wajib mempertahankan maruah diri dan agama daripada sebarang ancaman.
¤    Kemampuan berfikir secara strategik akan membolehkan kita merancang kaedah dan pendekatan yang paling berkesan dalam pelaksanaan sesuatu tugasan.
¤    Tindakan pencegahan merupakan langkah terbaik untuk menghadapi ancaman.

Persiapan Melengkapkan Diri Dengan Sifat Survival
Usaha yang sistematik perlu dilakukan untuk mempersiapkan diri dengan sifat survival. Berikut disenaraikan beberapa langkah utama yang boleh dijadikan sebagai panduan dan rujukan

a)          Set Minda
Merangka set minda yang tepat adalah langkah permulaan untuk melengkapkan diri dengan sifat survival. Yakin mampu melakukannya, berfikiran positif untuk menghadapi apa sahaja cabaran dan tenang menghadapi pelbagai bentuk tekanan perlu dijadikan sebagai teras utama set minda.

b)          Tanam Kesungguhan
Kesinambungan pada set minda yang tepat ialah tahap kesungguhan yang mendalam untuk mempersiapkan diri dengan sifat survival. Sikap acuh tidak acuh atau mudah patah semangat merupakan ancaman utama yang perlu dihindari. Justeru, kesungguhan perlu dibuktikan dengan daya usaha yang gigih, kesediaan untuk belajar, keterbukaan untuk berubah dan daya inisiatif untuk meningkatkan kemahiran diri.

c)           Bertindak Secara Praktikal
Ilmu dan teori yang dimiliki perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan secara praktikal. Segala tindakan merupakan cerminan pada kualiti dan tahap kemahiran yang dimiliki. Kesinambungan proses ini akan menghasilkan kelakuan atau kelaziman yang akhirnya menjadi identiti diri yang mampu dipertahankan dalam apa jua keadaan.

d)          Mengharapkan Keredhaan Allah SWT
Usaha melengkapkan diri dengan sifat survival perlu disandarkan sepenuhnya pada matlamat mendapatkan keredhaan Allah SWT. Pada masa yang sama mengharapkan ganjaran terbaik di akhirat kelak. Tidak ada makna jika kita hanya berupaya menghadapi krisis dan cabaran di dunia sedangkan kecundang dengan ujian di akhirat.



e)           Berwaspada Terhadap Godaan
Akhirnya ialah sentiasa berwaspada terhadap godaan yang boleh memesongkan kita dari prinsip dan landasan yang benar. Pelbagai bentuk godaan akan menjadi ancaman kepada kita, sama ada berupa manusia, syaitan atau harta benda.

Tindakan Susulan
Usaha perlu digembleng oleh semua pihak demi memastikan iktibar yang diperolehi dari sejarah Maulidur Rasul benar-benar mampu dijadikan sebagai panduan dan rujukan menghadapi krisis dan cabaran. Justeru, tindakan susulan berikut perlu dijadikan sebagai agenda utama.

a)          Menerajui Perubahan
Kita berkewajipan untuk memainkan peranan sebagai peneraju pada perubahan ke arah mempersiapkan diri dengan sifat survival. Gejala suka mengharapkan orang lain atau merasa hina diri untuk membawa perubahan akan merugikan umat Islam secara keseluruhannya.

b)          Menimbulkan Kesedaran
Usaha awal yang perlu digerakkan ialah menimbulkan kesedaran dalam masyarakat untuk turut sama melakukan perubahan. Faedah dan kelebihan sifat survival perlu didedahkan kepada pengetahuan umum. Pada masa yang sama akibat atau kesan buruk jika gagal mempersiapkan diri dengan sifat tersebut perlu dijadikan sebagai peringatan.

c)           Mencetuskan Minat
Minat untuk mempersiapkan diri dengan sifat survival yang tercetus dalam masyarakat merupakan bukti keberkesanan usaha menimbulkan kesedaran yang telah dilaksanakan. Minat tersebut perlu dipupuk dengan menyalurkan pelbagai maklumat yang sesuai. Pada masa yang sama usaha untuk menarik minat lebih ramai anggota masyarakat perlu diteruskan.

d)          Merangsang Kehendak
Langkah berikutnya ialah meyakinkan masyarakat bahawa mereka berkemampuan dan berkelayakan untuk mempersiapkan diri dengan sifat survival. Pendedahan pada contoh terdahulu atau cerita-cerita kejayaan akan menjadi perangsang yang meningkatkan kehendak dan kemahuan masyarkat untuk berubah.

e)           Membentuk gagasan
Usaha yang bersifat perseorangan atau serpihan berisiko untuk terhenti sekerat jalan. Justeru, inisiatif membentuk gagasan yang menggabungkan individu atau kumpulan yang mempunyai matlamat yang sama iaitu mempersiapkan diri dengan sifat survival akan mengukuhkan lagi usaha ini.

Kesimpulannya, kita berdoa dan memohon ke hadrat Allah SWT supaya usaha mengambil iktibar daripada sejarah Maulidur Rasul untuk menangani krisis dan cabaran dikira sebagai usaha jihad untuk mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Selasa, 15 Februari 2011

Sejarah NABI MUHAMMAD BIN ABDULLAH




Laqad kaana lakum fii rasulillahi uswatun hasanatun liman kaana yarjullaha wal yaumal aakhira wazakarallaaha kathiraa. 
(al ahzaab:21) 

Alhamdulillah, tahun ini kita sempat lagi bertemu dengan 12 Rabiul awal, satu peristiwa besar dalam sejarah atau sirah nabi iaitu sempena Kelahiran Baginda sallallahu alaihi wasallam. Umum masyarakat Islam tahu bahawa Junjungan Besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam telah diperanakkan pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun Gajah bersamaan dengan 20 April 571 Masihi. 

DUNIA SEBELUM KEDATANGAN ISLAM 

Ahli sejarah dan para ulama' yang mengarang buku2 sirah nabi pasti memulakan kisah kelahiran nabi junjungan dengan menceritakan keadaan latar belakang sejarah dunia ketika itu. Dunia ketika itu terbahagi kepada dua kuasa besar iaitu Rom dan Parsi. Rom mewakili dunia penganut agama Nasrani dan Parsi mewakili penganut Majusi()penyembah Api). Dalam buku Sejarah Islam hasil tulisan Professor Hamka, digambarkan bahawa masyarakat dunia ketika berada dalam kemusnahan akhlak yang dahsyat tak kira sama ada di Barat mahu pun Timur. Kaum wanita dianggap masyarakat kelas dua. mereka dilayan sebagai alat pemuas nafsu seks semata-mata. Mereka diperdagangkan. Perjudian dan arak adalah perkara biasa dan bukan dianggap suatu keaiban. Kalau di China umpamanya, anak perempuan dan isteri boleh dijadikan bayaran hutang judi. Manakala di India, wanita yang berkahwin hendaklah membakar diri sekiranya suaminya meninggal. 

Lebih teruk di Semenanjung Tanah Arab, melahirkan anak perempuan merupakan suatu kehinaan di sisi masyarakat dan mereka saanggup membunuh anak perempuan bagi menjaga maruah di sisi kaum mereka. Peperangan dan pembunuhan adalah perkara biasa. Bangsa Arab kucar kacir,tidak mempunyai pemimpinberpusat bagi negara kerana mereka lebih bangga dengan suku kaum masing-masing. Pertelingkahan yang memakan masa berkurun lamanya adalah perkara biasa juga walaupun berlaku perselisihan faham yang kecil sahaja seperti binatang ternakan mati. Ringkasnya, dunia sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, berada dalam kegelapan moral dan tauhid walaupun tertegaknya dua Tamadun manusia yang besar iaitu Rom dan Parsi. 

KELAHIRAN MUHAMMAD BIN ABDULLAH 

Allah berfirman yg maksudnya: 

"Dan tidaklah Aku utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." 

Diceritakan bahawa tahun kelahiran nabi itu dikenali dengan Tahun Gajah bersempena tewasnya Tentera bergajah Raja Abrahah yang beragama Kristian mengerah tenteranya ke Mekah untuk meruntuhkan Kaabah bagi mempengaruhi masyarakat dunia bertumpu kepada Gereja yang dibinanya di Syam, Ibu kota Yaman. 
Kisah ini disebut dalam Al Qur'an dalam surah al fil yang bermaksud; 

"Tidakkah kamu melihat bagaimana Tuhan kamu memperlakukan terhadap Tentera Bergajah? 

sehinggalah akhir ayat di mana bala tentera itu dimusnahkan oleh sekumpulan burung Ababil yang melontarkan batu sijjil(keras yang dibakar. ALLAH berfirman lagi; 
"Dan Dia(ALLAH) mengutuskan keatas mereka burung ababil yang melontarkan mereka dengan batu drp tanah yang dibakar(sijjil). Maka jadilah mereka seperti daun2 yang dimakan (ulat)." 

Bapa nabi Abdullah bin Abdul Muttalib, seorang pedagang dari Syam yang meninggal dunia ketika Nabi masih enam bulan dalam kandungan.  Diceritakan bahawa ketika baginda dilahirkan, Nabi tidak menangis sebagaimana bayi2 normal. Apabila nabi berpaling ke arah Parsi,api sembahan kaum majusi di Parsi(Iran) terpadam dengan tiba2.Dan apabila nabi berpaling ke arahibukota Rom, istananya bergegar. Nujum Di Raja Kerajaan Rom mengkhabarkan kepada Rajanya bahawa seorang pemimpin dunia telah dilahirkan. Raja Rom memerintahkan agar dicari dan dibunuh bayi itu. 

Di Tanah Arab pula, Abu Lahab amat gembira apabila hambanya Suwaibah membawa berita kelahiran anak saudaranya lalu dibebasnya Suwaibah. Abu Lahab menyambut kelahiran nabi dengan membuat kenduri besar2an di Mekah. Diceritakan juga bahawa Siti Aminah ketika melahirkan anaknya itu, tidakpun merasa sakit.  Perkara2 pelik yang berlaku merupakanmukjizatkenabianyang ALLAH tunjukkanbagi tujuan supaya masyarakat Arab dan dunia memberi perhatian dan kenal dengan nabi. Ia juga sebagai suatu hikmah di mana ia dapat menjawab segala tohmahan para orientalis yg ingin merosakkan nama baik dan peribadi nabi, yang sebenarnya dipelihara oleh ALLAH semenjak lahir lagi. 

KISAH PENYUSUAN 

Memang menjadi amalan masyarakat bangsawan Arab di mana anak2 yang dilahirkan akan dihantar ke pedalaman untuk disusukan bagi mendapatkan tubuh badan dan akal yang sihat dan cergas.  Lalu ditakdirkan apabila tiba musim penyusuan, orang2 Bani Sa'ad menuju ke Kota Mekah untuk mencari bayi2 dari bangsa Quraisy utk upah penyusuan. Dalam rombongan banu Sa'ad ini, termasuklah Halimatun Sa'adiah dan suaminya, satu keluarga miskinyang juga mencari sesuap nasi dengan kerja penyusuan. disebabkan unta yang mereka naik uzur dan kekurangan minuman dan makanan, mereka tertinggal dalam perjalanan ke Kota Mekah. Apabila mereka sampai, didapati orang-orang lain telah bersedia untuk pulang dengan membawa bayi untuk disusukan. Ditakdirkan Halimatun Sa'adiah dan suaminya terus mengetuk pintu rumah SIti Aminah diketuk. Setelah menawarkan diri, siti aminah pun menceritakan perihal suaminya yang telah meninggal dan beliau tidak mempunyai banyak harta. mereka tergamam mendengarnya lalu cuba mendapatkan bayi dari rumah2 lain tetapi hampa. lalu Halimatun Sa'adiah pun berbincang dengan suaminya sama ada nak balik terus atau tidak. Mereka membayangkan kalau mereka balik ke desa dengan tangan kosong, di mana mereka hendak cari rezeki lagi. mereka juga membayangkan betapa malunya kpd ahli rombongan yg lain kalau mereka balik tgn kosong. Lalu mereka nekad untuk mengambil anak Aminah untuk disusukan. Takdir ALLAH mengatasi perancangan manusia. Walaupun dengan berat hati mengambil bayi yang bernama Muhammad itu, Halimatun Sa'adiah teruskan jua. Di saat beliau mendukung Muhammad, terus beliau merasakan suatu kelainan. Hatinya merasa tenang dan sejuk memandang ke arah bayi itu. Dalam perjalanan ke desa tercinta, walaupun pada awalnya ketinggalan jauh daripada ahli rombongan yang lain, Halimaun Sa'adiah dapat memintas dengan mudah kerana unta mereka tiba2 menjadi kuat dan cergas. Ketika berehat untuk minum, susu unta yang diperah menjadi banyak sehinggakan dapat diminum oleh mereka berdua dan unta itu sendiri. Mukjizat ALLAH tunjukkan lagi... 

Dipendekkan cerita, ketika dalam jagaan Halimatun Sa'adiah di Kampung Bani Sa'ad itu, ternakan mereka beranak pinak menjadi banyak dan tanah kampung menjadi subur di luar kebiasaan. Orang2 kampung mula bercakap2 ttg keberkatan Muhammad, anak susuan Halimatun Sa'adiah. Suatu hari, ketika Muhammad bermain dengan kawan2nya, datang Malaikat Jibril ke arahnya. Kawan2nya lari meninggalkan Muhammad sendirian dan melihat dari jauh. Ketika itulah dada Muhammad dibedah Jibril dan dikeluarkan harinya untuk dibersihkan dengan air zam2. Kawan2nya tercengang lalu lari lintang pukang ke rumah dan memaklumkan kepada HalimatunSa'adiah bahawa anaknya dibunuh orang. Selepas peristiwa itu, HalimatunSa'adiah menjadi risau kerana cerita itu menjadi buah mulut orang kampungnya. Setelah mengingati semua peristiwa yg pernah berlaku kepada keluarganya semenjak menjaga Muhammad, Halimatun Sa'adiah memutuskan untuk menghantar Muhammad kembali ke Kota Mekah. Di situlah berakhirnya jagaan nabi di bawah HalimatunSa'adiah. 

NABI YATIM PIATU 

Siti Aminah ditakdirkan meninggal dunia ketika usianya baru 6 tahun.Kemudian beliau dipelihara oleh Datuknya Abdul Muttalib. Pada usianya 8 tahun, Abdul Muttalib pula meninggal dunia dan Abu Talib, bapa saudaranya pula mengambil alih tugas menjaganya sehinggalah baginda dewasa. Abu Talib sangat sayangkan anak saudaranya itu. Beliau sentiasa membawa baginda ke mana2 termasuklah apabila berdagang. Suatu masa, ketika baginda berusia 12 tahun, Abu Talib membawanya berdagang ke Syam dan dipendekkan cerita dalam perjalanan di suatu dusun di Syam, mereka bertemu dengan seorang pendita Nasrani yang pakar dalam Kitab Taurat dan Injil. Pendita yang bernama Bahira itu peringatan kepada Abu Talib bahawa anak saudaranya akan menjadi pemimpin dunia sebagaimana yg tercatat dalam kitab2 suci Injil dan Taurat. Ada tanda kenabian pada Muhammad dan kalau orang2 Yahudi dan nASRANI mengetahuinya, nescaya mereka akan membunuh anak saudaranya. Inilah yang disebut dalam Al Qur'an maksudnya,"mereka mengenalinya(Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak2 mereka sendiri." 

PENGAJARAN/IKTIBAR 

1.Kisah perjalanan hidup Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam waktu lahir hinggalah dibesarkan oleh Abu Talib bapa saudaranya yang tersayang menggambarkan kepada kita betapa hidup baginda penuh dengan liku2. Menjadi anak yatim pada usia mentah memang suatu dugaan besar baginya. Ini membentuk jiwa yang kental dan tabah. 

2.Mukjizat-mukjizat yang berlaku terhadap nabi di saat kelahiran dan sepanjang zaman kanak2 baginda membuktikan kepada kita umat Islam dan umat Manusia seluruhnya bahawa inilah penyelamat dunia yang ALLAH utuskan. ALLAH menghendaki Nabi Muhammad dikenali oleh semua umat manusia atas mukabumi sejak kecil lagi agar hujjah orientalis barat dan orang 2 yang berniat jahat terhadap Muhammad dapat dipatahkan dgn mudah. 

3.Ulang tahun kelahiran nabi Muhammad itu memang digalakkan untuk kita umat Islam mengingatinya tapi hendaklah kena dengan caranya. Kita boleh menyambutnya dengan memperbanyakkan solawat dan ibadah khusus2 yang dibuat oleh Nabi Muhammad sebagai tanda kecintaan kita kepada baginda sebagaimana firman ALLAH yg bermaksud; 
"Katakanlah (wahai Muhammad) sekiranya kamu cintakan ALLAH,maka ikutlah aku, nescaya ALLAH akan mencintai kamu, dan mengampunkan dosa2 kamu, Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun dan Maha Penyayang." 
Dan bukan pula menyambutnya dengan mengadakan acara yang bercanggah dengan Islam umpamanya bercampur gaur lelaki perempuan berarak menyambut Maulid Nabi. 

4.Pernah suatu ketika apabila nabi melihat Yahudi berpuasa Asyura sempena mengingati kisah terselamatnya Nabi Musa daripada Fir'aun dan bala tenteranya ketika melintasi laut merah, Nabi sendiri bersabda, "Kami adalah lebih berhak daripada kamu tentang Musa(amalan berpuasa)." Maknanya nabi sendiri mengiktiraf peringatan peristiwaagama. Maka sudah tentulah kita umat Islam lebih2 lagi perlu mengingati kelahiran nabi. 

5.Seharusnya kita menanamkan azam untuk mengikuti sunnahnya sebagaimana firman ALLAH; "Dan apa2 yang datang daripada Rasul , maka ambillah. Dan apa2 yang ditegahnya kamu daripadanya, maka hindarkanlah." 

6.kita juga sepatutnya menghayati sifat2 yang ada pada diri rasulullah sebagaimana yang disebutkan oleh A'isyah apabila ditanya sahabat bagaimanakah akhlak nabi. maka dijawabnya bahawa Akhlak nabi ialah al Qur'an. antara sifat2 yang perlu dicontohi ialah Berani, amanah, bercakap benar, menyampaikan dakwah, dan cerdik/bijaksana. 

7.Terakhirnya, kita harus menyusuri kisah perjuangan nabi sepanjang bergelar Rasulullah dan cuba merealisasikan dalam kehidupan kita sendiri. 


Selamat Menyambut Maulidur Rasul



Assalamualaikum semua!!.. dan Salam Maulidur Rasul!!... dari kami Alumni SMK Teluk Bahang kepada anda muslimin dan muslimat...




Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
"Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, dia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. "



Selasa, 20 April 2010

KEMPEN KAMI PRIHATIN

Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia kepada warga Alumni SMK Teluk Bahang, semoga anda semua berada dalam sihat sejahtera hendaknya. Untuk makluman anda sebelum nie penulis dah pernah tulis mengenai kes pembuangan bayi di Malaysia melalui slot ‘Dari Mata Turun Kehati’. Bagi yang belum baca lagi boleh klik pada Arkib Alumni. Kali ini, penulis berpeluang untuk berkongsikan sebuah kempen yang giat dilancarkan di Malaysia kini mengenai isu pembuangan bayi yang kian meningkat di negara kita. Kempen Kami Prihatin yang penuh mesej dan matlamat untuk mengelakkan berlakunya gejala pembuangan bayi yang menular dikalangan rakyat Malaysia. Sebagai sebuah media alternatif pada masa kini, suka penulis mengajak rakan-rakan untuk berkempen melalui Blog, Facebook, MySpace dan media yang lain. Melihat dada akhbar beberapa minggu nie penulis rasa geram sangat mengenai pembuangan bayi, penulis percaya rakan-rakan juga pasti sependapat dengan penulis. Penulis melihat dunia ini seperti kembali semula kepada zaman jahilliah. Kes pembuangan bayi semakin meningkat. Sebak hati penulis melihat anak-anak kecil yang tidak berdosa didera, dibuang sehingga begitu sekali bahkan ada yang sanggup membakar. Penulis ingin meninggalkan persoalan, apakah dosa anak kecil ini sehingga ada yang sanggup membuat begitu sekali?. Sungguh zalim manusia itu sehingga sanggup membuang anak sedangkan binatang pun menyayangi dan membelai anaknya. Mereka ini eloklah digelar syaitan bertopengkan manusia.

Berbalik semula mengenai Kempen Kami Prihatin, ia lancarkan oleh akhbar Utusan Malaysia memang kena pada masanya di saat gejala buang bayi seperti tidak bernoktah lagi. Hampir setiap minggu, dada-dada akhbar tempatan dihiasi dengan perlakuan buruk syaitan bertopengkan manusia durjana ini. Masyarakat pula semakin jelak dan marah dengan tindakan bersifat kebinatangan yang dilakukan mereka. Walaupun setelah pelbagai usaha untuk membendung dilakukan, namun ia nampaknya masih berterusan dan menemui jalan buntu. Islam sejak sekian lama telah mempromosikan budaya amar makruf nahi mungkar sebagai satu daripada asas hidup bermasyarakat. Ia penting bagi membudayakan kerjasama dalam menjayakan setiap amal baik dan mengelak daripada perlakuan buruk dalam sesebuah komuniti masyarakat. Pelaksanaan kerja-kerja sebeginilah yang kemudiannya mewujudkan suasana aman dan harmoni sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan negara. Suruhan ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud "Dan hendaklah ada daripada kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara baik serta melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah ali-Imran: 104).

Segenap lapisan masyarakat perlu bersatu tenaga membanteras kegiatan tidak bermoral yang berlaku di sekeliling mereka. Ia merupakan kewajipan agama yang mesti dilaksanakan oleh semua pihak, tanpa mengira tempat dan masa. Ini kerana kemungkaran berlaku di mana- mana dan kadangkala ia dilakukan secara terang-terangan tanpa segan dan silu. Perbuatan berpelukan, berciuman di tempat awam seperti pusat membeli-belah, dalam LRT, mahupun di taman-taman rekreasi seakan sinonim dengan segelintir muda-mudi yang dibimbangi menjurus kepada perbuatan zina dan peningkatan jenayah buang bayi. Oleh itu, setiap anggota masyarakat mesti menggunakan kudrat yang ada bagi membanteras punca kepada penderaan kanak-kanak dan gejala buang bayi ini. egitu juga media massa seperti televisyen boleh menyiarkan keburukan pergaulan bebas, apa yang perlu dilakukan jika sudah terlanjur dalam bentuk iklan sebagai satu bentuk pendidikan seksual yang secara tidak langsung kepada para penonton. Hukuman yang setimpal dengan kesalahan buang bayi dan dera kanak-kanak patut difikirkan sebagai pengajaran untuk semua. Hukuman sebat syariah ke atas pesalah buang bayi sehingga menyebabkan kematian juga boleh dilaksanakan jika sesuai kerana ia melibatkan aspek pelanggaran terhadap keperluan menjaga nyawa dan kehormatan manusia. Apapun yang lebih penting, setiap individu mestilah mempunyai kekuatan kendiri bagi menangkis pelbagai serangan mendatang dalam era globalisasi masa kini. Tidak dinafikan kekuatan rohani yang berteraskan ajaran Islam yang murni juga faktor penentu kejayaan mencapai al-falah di dunia dan di akhirat nanti.

Akhir kata daripada penulis, marilah kita bersama-sama menjayakan Kempen Kami Prihatin. Bagi yang ada Facebook sertai Halaman Kempen Kami Prihatin. Dibawah ini adalah link untuk kempen ini, terdapat juga info maklumat dan lagu tema Kempen Kami Prihatin.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?pg=special/kami_prihatin/index.htm

Klik Klik

Related Posts with Thumbnails